Monday, September 17, 2007

Penanaman Buah Naga


AGRONOMI TANAMAN

Varieti

Buah naga atau nama saintifiknya hylocereus undatus tergolong dalam keluarga Cactaceae atau kaktus. Buah ini terbahagi kepada tiga jenis iaitu varieti putih (Hylocereus undatus), varieti merah (Hylocereus polyrhizus), dan varieti kuning (Hylocereus megalanthus), namun begitu hanya dua varieti yang sesuai ditanam di Malaysia iaitu varieti putih dan merah. Varieti ini mempunyai sifat tanaman yang berlainan antara satu sama lain. Varieti putih mempunyai batang bewarna hijau putih, bahu yang tinggi dan kasar berbanding dengan varieti merah. Tanaman buah naga termasuk dalam kumpulan jenis kaktus yang mudah tumbuh di kawasan tropika yang mempunyai sistem saliran yang baik.

Tanah
Sesuai dengan tanah berpasir dan tanah loam berpasir yang kaya dengan bahan organik, dan tanah mestilah mempunyai saliran semulajadi yang efisien.
Sifat tanaman dan penanaman
Buah naga mempunyai sifat fisiologi ‘long day plant’. Ini bermakna tanaman ini memerlukan tempoh cahaya matahari yang panjang pada waktu siang. Tumbuhan ini hidup secara menjalar dan memerlukan sokongan untuk tumbuh. Oleh itu ia perlukan para untuk menyokong batangnya yang lembut. Para berfungsi bagi memudahkan batang dan dahannya memanjat dan menjalar. Jenis jarak tanaman yang akan di lakukan adalah 8’ X 10’ yang akan memuatkan 500 batang tiang pada keluasan seekar. Setiap batang tiang konkrit akan ditanam dengan empat batang pokok buah naga ini. Ini bermakna 2000 batang pokok diperlukan pada keluasan seekar.

Bahan tanaman
Pokok buah naga boleh dibiak dengan semaian biji atau keratan batang. Penanaman melalui keratan batang lebih baik kerana bahan tanaman mudah di peroleh dan pokok membesar dengan cepat. Keratan benih tersebut dikeringkan di tempat yang sesuai dan di tanam ke dalam polibag. Keratan boleh juga terus ditanam di ladang sekiranya tapak dan tiang para sudah disediakan. Pokok yang telah ditanam akan menjalar ke atas mengikut tiang. Pokok yang telah ditanam hendaklah diikat pada tiang supaya ia tidak mudah terkulai dan patah. Apabila pokok buah naga sudah membesar dan memenuhi para sokongan, ia hendaklah dijarangkan supaya ia tidak bertindih-tindih. Sulur air (stem) yang memanjang hendaklah dijaga supaya tidak mudah patah.

Pembajaan
Sistem tanaman organik, ini adalah kerana pokok ini sesuai di tanam secara organik dan juga permintaan pasaran sekarang yang tinggi terhadap tanaman organik. Baja organik cecair boleh juga di sembur 7 hari sekali dan makin kerap apabila pokok sudah besar. Sulur air (stem) yang keluar hendaklah dibuang supaya pokok utama dapat membesar dengan baik. Pembajaan yang berjadual dan mengikut keperluan pokok perlu diamalkan bagi menjamin pertumbuhan pokok dan buah yang berkualiti dan berterusan.

Penyiraman
Pokok ini secara amnya tidaklah memerlukan air yang banyak. Ini adalah kerana pokok ini jenis pokok kaktus padang pasir yang boleh menyimpan air. Air hanya diperlukan secukupnya pada musim panas. Paip jenis PVC akan dipasang bagi memudahkan kerja penyiraman dilakukan pada musim panas. Secaranya amnya, pokok disiram seminggu sekali, tetapi sekiranya berlaku hujan pada minggu tersebut, pokok tidaklah perlu disiram pada minggu tersebut.

No comments: